PENCEMARAN BAHASA; ADAKAH IANYA BERLAKU?

Perkembangan bahasa Melayu di Malaysia merupakan satu petunjuk bahawa bahasa Melayu semakin maju dan sedang mengorak langkah untuk menjadi bahasa yang dikenali di seluruh dunia. Namun perkembangan ini terbantut disebabkan oleh beberapa faktor. Salah satu faktor yang menghalang perkembangan bahasa di Malaysia adalah faktor pencemaran bahasa.
Pencemaran bahasa di Malaysia dapat dilihat dengan ketara. Penggunaan bahasa Melayu dengan cara tidak betul dapat dilihat bukan sahaja dalam komunikasi secara tidak formal, bah kan sekarang dalam komunikasi formal juga terdapat penyalahan dalam penggunaan bahasa. Salah satu kesalahan berbahasa yang sering diperkatakan adalah penggunaan bahasa rojak dalam komunikasi. Bahasa rojak amat luas penggunaannya. Bahasa rojak bagi pendapat saya bukan sahaja merosakkan dari segi menidakkan kosa kata yang sedia ada dalam bahasa Melayu bahkan berlaku kerosakan dari segi struktur bahasa juga.

Bagi pendapat saya, kemunculan bahasa ini disebabkan berlakunya pertembungan budaya yang begitu meluas. Pertembungan budaya ini sedikit sebanyak akan menyebabkan berlakunya percampuran bahasa dalam komunikasi. Contoh yang boleh diberikan dalam soal ini adalah bahasa inggeris yang sekarang ini menyusup masuk dalam bahasa Melayu. Dengan statusnya sebagai bahasa lingual franca menyebabkan bahasa ini lebih senang di terima dalam masyarakat di Malaysia. Jika diteliti, dalam komunikasi rakyat Malaysia sekarang ini, penggunaan bahasa Inggeris dalam komunikasi amat luas. Komunikasi yang berlaku melibatkan percampuran kod antara bahasa Melayu dan Inggeris.

Penggunaan bahasa Inggeris dalam komunikasi bahasa Melayu akan memburukkan bahasa Melayu sendiri di mata masyarakat dunia. Penggunaan ini menunjukkan bahawa rakyat Malaysia sendiri tidak begitu yakin dengan keupayaan bahasa Melayu sehinggakan terdapatnya kosa kata bahasa Inggeris digunakan dalam komunikasi bahasa Melayu.Jika masyarakat sendiri di Malaysia tidak begitu yakin dengan bahasa sendiri macam mana bahasa ini hendak diterima oleh dunia luar.

0 comments: